Update : 14/01/2008 3:51pm
PETALING JAYA 14 Jan — Polis menahan seorang wanita warga negara Indonesia tengah malam tadi kerana disyaki memberi maklumat palsu mengenai kehilangan kanak-kanak perempuan Sharlinie Mohd Nashar yang dipercayai diculik.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC II Mazlan Mansor berkata wanita berusia 27 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu rumah ditahan oleh satu unit khas polis di Johor Baharu setelah didapati beberapa kali menghantar SMS kepada bapa Sharlinie, Mohd Nashar Mat Hussin, 29, dengan memberi maklumat palsu dan menjadikan kes kehilangan Sharlinei, lima tahun, yang kini menjadi tumpuan di seluruh negara, sebagai bahan gurauan.
“Wanita itu telah menghantar SMS sejak hari pertama kehilangan kanak-kanak itu hingga hari ketiga. (Dalam SMS itu) dia ada menyebut tentang perasaan dendam dan kanak-kanak itu akan dihantar pulang dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi,” katanya kepada pemberita di Ibupejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.
Sharlinie dilaporkan hilang pada 11.30 pagi Rabu lepas ketika bermain bersama kakaknya Sharliena, 8, di taman permainan tidak jauh dari rumah mereka di Taman Medan di sini.
Polis sedang menjalankan gerakan besar-besaran bagi mencarinya termasuk mengedar poster kanak-kanak itu serta fotofit seorang lelaki yang dipercayai penculiknya.
Di Bukit Kayu Hitam, Kelab Seni Foto Universiti Utara Malaysia mengedarkan 500 keping poster kanak-kanak itu di sekitar Kompleks Imigresen dan Kastam petang semalam.
Setiausahanya, Adilah Ishak berkata, KSFUUM turut mencetak fotofit suspek kes itu untuk diedar di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.
Beliau berharap pengedaran poster kanak-kanak itu di tempat strategik akan mempercepatkan usaha mengesan kanak-kanak itu dan juga penculiknya.- Bernama
1 comment:
Orang macam ini pun boleh ada. Teruk betul..
Post a Comment