Monday, January 21, 2008

Kes Sharlinie: Polis geledah 10,000 premis jejak penculik


PETALING JAYA: Polis memeriksa kira-kira 10,000 kediaman di sekitar daerah ini termasuk rumah kosong atau belum diduduki, dalam usaha mengesan Sharlinie Mohd Nashar, 5, atau menjejak penculiknya sejak kanak-kanak itu hilang 12 hari lalu.


Dalam perkembangan berkaitan, polis turut mengesahkan reman ke atas pembantu rumah warga Indonesia berusia 27 tahun yang ditahan Ahad lalu berhubung kehilangan Sharlinie, disambung sehingga esok. Pembantu rumah itu ditahan di Johor Bahru selepas dikesan mengirim maklumat palsu mengenai kehilangan Sharlinie.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad, berkata anggota polis termasuk berpakaian biasa memeriksa 1,000 rumah sehari berdasarkan maklumat atau premis yang disyaki dijadikan tempat mangsa disembunyikan.


Pemeriksaan itu ditumpukan di Petaling Jaya Selatan hingga ke sempadan Kuala Lumpur sebelum diperluaskan ke semua kawasan di daerah ini yang mempunyai 1.6 juta penduduk.

"Pemeriksaan dibuat mengikut keadaan dan maklumat. Kita geledah rapi setiap sudut rumah yang mencurigakan, manakala yang lain diperiksa secara umum.

"Banyak juga rumah kosong termasuk yang ditinggalkan kita periksa tetapi setakat ini belum menemui apa-apa yang boleh dikaitkan dengan Sharlinie. Namun, kita percaya Sharlinie masih berada dalam negara," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Arjunaidi berkata, walaupun pemeriksaan itu dibuat tanpa waran, setakat ini tiada penghuni menghalang tugas polis.

"Kita bukan sesuka hati menggeledah rumah tetapi jika ada yang enggan bekerjasama, kita boleh mengambil tindakan kerana menghalang tugas polis. Kita ada kuasa menggeledah premis yang kita percaya dapat membantu siasatan," katanya.

Arjunaidi juga berkata, polis sedang menyiasat mengenai persamaan wanita yang didakwa dilihat seorang saksi di Cheras kelmarin, dengan maklumat yang diberikan kakak mangsa, Sharliena, 8, sebelum ini.

Kelmarin, seorang saksi mendakwa melihat kanak-kanak menyerupai Sharlinie bersama seorang wanita dalam sebuah van putih di Cheras. Sebelum ini, Sharliena juga mendakwa melihat seorang wanita menarik adiknya, tetapi ke dalam sebuah kereta hitam.

Saksi itu memberi maklumat mengenai nombor plet van berkenaan kepada wartawan sebuah akhbar sebelum perkara itu dimaklumkan kepada polis.

"Setakat ini polis belum dapat mengesan van itu tetapi nombor plet berkenaan didaftarkan atas kenderaan lain. Kita minta saksi berkenaan menemui polis bagi mengesahkan maklumat itu," katanya.

Arjunaidi berkata, polis sukar menyediakan fotofit wanita yang didakwa dilihat Sharliena kerana maklumat diberikan kanak-kanak itu tidak jelas.

Sementara itu, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak membuat pemeriksaan di sebuah kawasan berdekatan pusat perkelahan Ulu Yam di Empangan Batu, Selayang, kelmarin selepas menerima maklumat mengenai Sharlinie.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abdul Karim Abu Hassan, bagaimanapun berkata polis tidak menemui apa-apa selepas beberapa jam memeriksa kawasan berkenaan sejak jam 7 petang.

Abdul Karim berkata, lokasi yang sama pernah diperiksa dalam kes penculikan Nurin Jazlin Jazimin, 8, Ogos tahun lalu. - Berita Harian

No comments: