Friday, February 29, 2008

Maklumat terhad tidak halang cari Sharlinie

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Misi polis mencari Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang masuk hari ke-51 masih lagi diteruskan walaupun hanya bergantung kepada maklumat yang terhad mengenai kanak-kanak itu dan penculiknya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihak polis akan sentiasa menganalisis segala maklumat yang diyakini dapat membantu dalam misi pencarian Sharlinie.

"Kami tidak boleh dedah setiap maklumat tetapi akan kenal pasti kesahihan dan menganalisisnya sebelum ambil tindakan termasuk informasi mengenai lokasi kanak-kanak itu disembunyikan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sharlinie dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya, Sharliena, 8, dari padang permainan kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari lalu.

Sementara itu, bapa Sharlinie, Mohd. Nashar Mat Hussain, 29, berkata, beliau masih lagi menerima panggilan memberi maklumat daripada orang ramai berkaitan lokasi yang dipercayai tempat anaknya disembunyikan.

"Pun begitu, berbanding sebelum ini, maklumat yang diterima kebelakangan ini semakin kurang.

"Kami terima maklumat daripada bomoh yang beri beberapa nama lokasi tetapi maklumat tersebut tidak tepat," katanya ketika dihubungi.

Beliau berharap orang ramai dan pihak polis tidak berputus asa memberi maklumat dan mencari anaknya yang hilang sudah lebih sebulan.

Tuesday, February 26, 2008

Bapa tidak kecil hati berita anak sudah mati

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Mohd. Nashar Mat Hussain tidak berkecil hati dengan cerita bahawa anaknya, Sharlinie yang hilang sejak 48 hari lalu sudah mati tanpa dapat dikesan.

Jelas beliau, masyarakat tidak boleh dipersalahkan kerana tempohnya sudah terlalu lama dan sehingga kini tiada petunjuk kukuh bagi membantu pihak berkuasa untuk mengesannya.

Namun baginya, sebagai bapa beliau tetap yakin anak bongsunya itu masih hidup hanya masa yang menentukan dia akan ditemui.

''Saya terpaksa menolak tanggapan seperti itu kerana ia bukan sahaja melemahkan semangat malah menyebabkan pihak lain yang membantu turut berputus asa,'' katanya ketika dihubungi di sini hari.

Sharlinie hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya setelah bermain di taman permainan di Taman Medan, Petaling Jaya pada 11.30 pagi, 9 Januari lalu.

Mohd. Nashar, 29, menjelaskan demikian apabila diminta mengulas mengenai spekulasi orang ramai sejak akhir-akhir ini bahawa anaknya itu sudah mati.

Katanya, cerita-cerita seperti itu tidak pernah sedikit pun melemahkan beliau sekeluarga untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa mengesan penculik Sharlinie.

Malah katanya, usaha mencari sentiasa dipertingkatkan dengan bantuan semua pihak dengan menggunakan kepakaran masing-masing.

Semua usaha itu tambah beliau, amat dihargai kerana mereka membantu dengan ikhlas agar Sharlinie ditemui segera.

''Jasa mereka tidak mampu dibalas dan saya hanya mampu mengucapkan berbanyak terima kasih, '' ujarnya.

Friday, February 22, 2008

Polis yakin fotofit baru bantu cari Sharlinie

PETALING JAYA 21 Feb. – Polis berharap dua fotofit baru suspek dalam kes culik Sharlinie Mohd. Nashar, 5, dapat membantu misi pencarian yang masuk hari ke-44 hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pada masa ini kedua-dua fotofit itu masih belum membawa petunjuk baru.

Namun pihaknya, kata beliau, ia pasti berperanan dalam mempercepatkan misi mengesan suspek dan mengembalikan Sharlinie kepada keluarganya.

“Fotofit itu kita tidak siarkan atau edar kepada umum tetapi kita sedang berusaha keras mengenal pasti suspek berkaitan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Arjunaidi memberitahu, polis sebenarnya masih meneruskan usaha mencari Sharlinie tetapi kini menekankan tentang risikan.

Menurutnya, perubahan fokus dalam misi itu penting bagi memastikan operasi yang dijalankan lebih berkesan dan mampu memberi petunjuk.

“Polis kini memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan yang berpotensi menjadi tempat kanak-kanak tersebut disembunyikan,” ujarnya.

Sharlinie dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya, Sharliena, 8, dari padang permainan kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari lalu.

Mengenai penerbitan sebuah buku bertajuk Di Mana Sharlinie?, Arjunaidi berkata, tindakan akan diambil jika terdapat maklumat salah di dalamnya mengenai kehilangan Sharlinie.

“Setakat ini, saya belum baca lagi buku itu tetapi bagi mereka yang ingin menerbitkan buku haruslah mengikut prosedur yang betul,” ujarnya.

Beliau sekali lagi mengulangi harapannya agar orang ramai yang mempunyai maklumat baru tentang kehilangan Sharlinie supaya menghubungi pihak polis.

Thursday, February 21, 2008

Dua fotofit baru kesan penculik

PETALING JAYA 19 Feb. - Polis kini berpandukan dua fotofit baru bagi meningkatkan lagi gerakan untuk mengesan Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang hilang lebih daripada sebulan lalu.

Sebelum ini polis pernah mengeluarkan fotofit gambar lelaki ketika kanak-kanak itu hilang pada 9 Januari.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed tidak menyatakan sama ada fotofit terbaru itu lelaki atau perempuan.

"Bagaimanapun, fotofit tersebut tidak akan dihebahkan seperti yang terdahulu bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.

"Ini kerana fotofit yang akan dikeluarkan ini tidak sama dengan fotofit terdahulu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sharlinie hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya, setelah bermain di taman permainan di Taman Medan, dekat sini pada pagi 9 Januari lalu.

Sementara itu, Arjunaidi menegaskan polis tidak menutup kes penculikan tersebut walaupun kekurangan anggota kerana kempen pilihan raya umum tidak lama lagi.

Sebaliknya, beliau berkata, kekurangan itu ditampung dengan mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan yang lain.

"Misalnya operasi di rumah kongsi pekerja asing di Kota Damansara awal pagi ini kita mendapat bantuan 20 pegawai dan 34 anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)," jelas beliau.

Operasi itu, katanya, dilakukan setelah polis menerima maklumat kanak-kanak malang itu mungkin berada di situ.

Mengenai seorang lelaki berusia 50-an dikatakan boleh mencari Sharlinie menggunakan teknik matematik, Arjunaidi berkata, maklumat tersebut gagal membantu polis dalam memburu penjenayah terlibat.

Menurutnya, maklumat berdasarkan kiraan nombor dan angka itu tidak dapat dikaitkan dengan kes kehilangan kanak-kanak itu.

Tuesday, February 19, 2008

Serbuan cari Sharlinie di flat gagal

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Polis yang menerima maklumat dalam kes Sharlinie Mohd. Nashar, 5, hari ini menyerbu sebuah rumah di Flat Sri Sabah, Cheras di sini.

Namun, operasi disertai 20 pegawai dan anggota pasukan khas itu gagal menemui sebarang petunjuk mengenai Sharlinie.

Operasi tersebut dibuat berdasarkan maklumat daripada seorang lelaki berusia 50-an memberitahu bahawa kanak-kanak malang itu disembunyikan di situ.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, polis menerima laporan tersebut petang ini daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya berstatus profesor madya bidang matematik.

"Polis tidak menolak semua maklumat yang diterima daripada mana-mana pihak kerana ia penting dalam usaha mencari Sharlinie.

"Bagaimanapun, semua maklumat yang diterima akan ditapis sebelum tindakan lanjut dilakukan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, seorang lelaki yang mendakwa mempunyai kepandaian menilik termasuk mencari orang hilang melalui nombor dilaporkan menawarkan diri mengesan Sharlinie.

Lelaki berusia 50-an itu dikatakan mempunyai kepakaran ala drama bersiri Inggeris Numbers yang kononnya boleh mencari kanak-kanak itu dengan kiraan nombor atau angka.

Utusan Malaysia hari ini pula melaporkan rayuan kedua ibu bapa Sharlinie, Suraya Ahmad, 28, dan Mohd. Nashar Mat Hussain, 29, yang berharap usaha mengesan anak perempuan mereka itu terus diberi perhatian oleh semua pihak.

Menurut Mohd. Nashar, sekiranya pihak berkenaan tidak lagi menganggap kes kehilangan Sharlinie sebagai keutamaan, maka harapan mereka berjumpa semula Sharlinie tentunya menjadi tipis.

Monday, February 18, 2008

Apa nasib mereka? -- Genap 41 hari Sharlinie diculik

KUALA LUMPUR 17 Feb. – Hari ini genap hari ke-40 kehilangan Sharlinie Mohd. Nashar, 5, dan setakat ini dia gagal dikesan.

Namun, ibu bapanya, Suraya Ahmad, 28, dan Mohd. Nashar Mat Hussain, 29, berharap usaha mengesan anak perempuan mereka itu terus diberi perhatian oleh semua pihak.

Mereka merayu masyarakat, pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan (NGO) jangan berputus asa sebaliknya tetap menggangap usaha mengesan Sharlinie perkara penting.

Menurut Mohd. Nashar, sekiranya pihak berkenaan tidak lagi menganggap kes kehilangan Sharlinie sebagai keutamaan, maka harapan mereka berjumpa semula Sharlinie tentunya semakin tipis.

“Walaupun kehilangan Sharlinie masuk hari ke-40, tetapi kami percaya anak perempuan kami masih hidup kerana Sharlinie seorang kanak-kanak yang tabah.

“Saya memohon pihak berkuasa dan masyarakat tidak berputus harap kerana itu harapan yang kami ada ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan kehilangan Sharlinie terus menghantui keluarganya kerana walaupun usaha mencari secara risikan polis dan tradisional dilakukan tetapi tiada sebarang petunjuk ditemui.

Mohd. Nashar dipetik sebagai berkata, sudah lebih sebulan anaknya hilang dan pelbagai cerita timbul tetapi tiada satu pun membantu pihak berkuasa mengesan penjenayah terlibat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed dalam laporan sama memberitahu, polis masih kekurangan maklumat untuk mengesan Sharlinie.

Sharlinie hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya ke rumah mereka di Taman Medan, dekat sini pada 9 Januari lalu.

Dalam pada itu, Mohd. Nashar menambah, beliau mengakui perhatian yang diberikan oleh masyarakat terhadap kes penculikan anak perempuannya itu semakin longgar.

Beliau sedar, semua pihak berusaha bersungguh-sungguh sebelum ini tetapi mungkin kerana tempoh kehilangan kian panjang menyebabkan segelintir mereka kepenatan.

“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, cuma berharap usaha diteruskan dan berterima kasih atas bantuan yang dihulurkan selama ini,” jelasnya.

Friday, February 15, 2008

Bapa Guna Bomoh

Pilihan raya tidak jejas misi cari Sharlinie

PETALING JAYA 13 Feb. - Operasi mencari Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang masuk hari ke-36 hari ini tidak akan terjejas walaupun sebahagian besar anggota polis akan terlibat dalam tugas mengawal kelancaran pilihan raya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, misi mencari kanak-kanak itu akan dilakukan seperti biasa kerana penjenayahnya masih belum dapat dikesan.

Namun beliau menjelaskan, jadual operasi akan diubah mengikut kesesuaian kerana sebahagian anggota polis turut diperlukan bagi memastikan kempen pilihan raya berjalan lancar.

‘‘Operasi akan diterus seperti biasa iaitu kita melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan supaya pilihan raya umum ke-12 dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.

Bagi kes Sharlinie, kanak-kanak itu hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya dari taman permainan di Taman Medan, di sini sejak pagi 9 Januari lalu.

Arjunaidi memberitahu, pihaknya masih menerima empat hingga lima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang ramai pada setiap hari tetapi maklumatnya masih kurang.

‘‘Tetapi tindakan tidak akan diambil kecuali individu itu sengaja menghantar SMS palsu yang menyukarkan lagi kerja polis mengesan penculik Sharlinei,” katanya.

Sementera itu beliau memberitahu, setakat ini tidak ada sebarang bukti untuk mengaitkan kes Sharlinie dengan kes cubaan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Klang, baru-baru ini.

Namun katanya, siasatan rapi tetap dilakukan bagi mencari bukti-bukti lain yang boleh membantu siasatan polis.

YPM sumbang RM5,000

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Walaupun kehilangan Sharlinie Mohd. Nashar, 5, sudah melebihi satu bulan, namun masyarakat tetap prihatin terhadap kesusahan yang dialami keluarga kanak-kanak ini.

Ini terbukti dengan sumbangan daripada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) kepada keluarga kanak-kanak malang itu yang disampaikan hari ini.

Pengerusi YPM, Datuk Rosli Mat Hassan menyampaikan sendiri sumbangan RM5,000 itu pada satu majlis di Tingkat 9, Bangunan Mara, Jalan Raja Laut di sini.

Ketika ditemui, Rosli memberitahu, pihak YPM amat bersimpati kepada keluarga Sharlinie dan berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban yang ditanggung.

"Kami juga mengadakan solat hajat secara bersiri di beberapa masjid di Dungun sebagai salah satu usaha mencari Sharlinie," katanya yang juga Ahli Parlimen Dungun.

Menurut Rosli, beliau terpanggil membantu keluarga berkenaan berikutan tempoh kehilangan kanak-kanak itu yang sudah terlalu lama.

Jangan takut beri maklumat

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Penahanan dua individu sebelum ini tidak seharusnya menakutkan orang ramai untuk memberi maklumat kepada polis dalam kes kehilangan Sharlinie Mohd. Nashar, 5, walaupun ia belum dipastikan kesahihannya.

Sebaliknya, masyarakat dirayu supaya terus menyampaikan maklumat yang boleh membantu usaha polis mengesan kanak-kanak tersebut.

Orang ramai juga tidak harus salah faham antara memberi maklumat yang belum dipastikan kesahihannya tetapi dialu-alukan oleh polis, berbanding maklumat palsu atau berbau ugutan yang sengaja direka-reka dan ditegah undang-undang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kedua-dua orang yang ditahan sebelum ini disebabkan maklumat palsu dengan tujuan menipu dan juga niat mengugut.

"Polis hanya ambil tindakan terhadap mereka yang sampaikan maklumat palsu atau mengugut keluarga Sharlinie, bukan pemberi maklumat yang salah.

"Justeru, orang ramai yang ada maklumat dan yakin boleh membantu supaya diminta menyalurkannya kepada polis," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Arjunaidi menambah, maklumat palsu adalah maklumat yang sengaja direka-reka oleh penyampai dengan tujuan menipu atau berniat jahat terhadap keluarga mangsa.

Menurutnya, golongan seperti ini ditahan bukan saja kerana menyusahkan polis, malah menganggu siasatan serta merumitkan keadaan keluarga mangsa.