Monday, March 10, 2008

Genap 60 hari Sharlinie hilang

KUALA LUMPUR 8 Mac – Walaupun masih dalam kesedihan kerana kehilangan Sharlinie anak kesayangannya, Mohd. Nashar Mat Hussain tetap keluar mengundi hari ini.

Beliau mengundi di Sekolah Kebangsaan Padang Pulut, Dungun, Terengganu kira-kira pukul 9 pagi hari ini manakala isterinya, Suraya Ahmad menunaikan tanggungjawab itu di Taman Medan, Petaling Jaya.

Menurut Mohd. Nashar, walaupun anak bongsunya itu masih belum ditemui tetapi itu tidak melemahkan semangatnya untuk keluar mengundi.

“Kesempatan pulang ke kampung juga dapat saya gunakan untuk merisik maklumat cara-cara lain bagi mengesan penculik anak saya. Saya memang amat berharap pihak polis dan orang ramai terus mencari Sharlinie yang hari ini genap 60 hari dia hilang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sharlinie, 5, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya ke rumah mereka di Taman Medan dekat sini pada 9 Januari lalu.

Mohd. Nashar yakin anaknya itu masih hidup dan berada dalam keadaan selamat.

Beliau menganggap segala usaha mencari yang melibatkan semua pihak setakat ini menemui jalan buntu sebagai dugaan Tuhan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed menegaskan pihaknya akan mencari sehingga Sharlinie ditemui.

Kata Arjunaidi, maklumat yang diterima sangat terhad selain perlu dianalisis bagi menjejaki penjenayah terbabit.

Thursday, March 6, 2008

Sharlinie sudah ditemui hanya khabar angin

PETALING JAYA 5 Mac - Polis menafikan khabar angin bahawa mayat Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang hilang hampir dua bulan sudah ditemui.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihak yang menyebarkan khabar angin itu mendakwa, berita penemuan itu sengaja tidak dihebahkan kerana dikhuatiri ia boleh menganggu kempen pilihan raya yang sedang hangat sekarang.

"Itu semua tidak benar kenapa kita nak 'simpan' kalau betul mayat Sharlinie sudah ditemui.

''Saya menasihatkan orang ramai tidak mempercayainya," kata Arjunaidi kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini hari ini.

Hari ini genap 57 hari kanak-kanak itu hilang ketika dalam perjalanan bersama kakaknya ke rumah mereka di Taman Medan, di sini pukul 11.30 pagi pada Januari lalu.

Bagaimanapun Arjunaidi yakin, kanak-kanak itu masih hidup kerana polis tidak menemui sebarang bukti atau tanda-tanda yang mengaitkan kanak-kanak itu telah mati.

Beliau juga memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes penculikan Sharlinie.

Namun katanya, pada masa ini polis belum terfikir untuk mendapatkan khidmat bantuan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) bagi mencari Sharlinie.

''Keperluan itu belum wujud buat masa ini dan saya yakin dapat menyelesaikan kes terbabit dalam masa terdekat,'' jelasnya.

Tuesday, March 4, 2008

Sazali sedia bantu dengan syarat ketat

KUALA LUMPUR 3 Mac - Pakar forensik hipnosis Dr. Sazali Ahmad sedia membantu mencari Sharlinie menggunakan kaedah tersebut tetapi dengan syarat yang ketat.

Beliau menegaskan, paling utama ketika proses hipnosis dilakukan ia hanya boleh dihadiri ibu bapa Sharlinie dan polis.

Ini kerana jelasnya, percubaan beliau menggunakan kaedah itu di rumah kanak-kanak tersebut di Taman Medan, Petaling Jaya pada dua minggu lalu menemui kegagalan.

Menurutnya, kehadiran begitu ramai di rumah itu telah menyebabkan berlaku banyak percanggahan pendapatan dan sekali gus mengganggu proses hipnosis.

''Atas sebab itu jugalah saya terpaksa membatalkan temujanji walaupun sudah tiba di rumah itu pada pukul 3 pagi.

''Saya telah menghubungi Mohd. Nashar Mat Hussain, bapa Sharlinie untuk menjelaskan perkara tersebut, sejak itu saya tidak menghubungi lagi,'' katanya.

Sazali memberi penjelasan itu ketika diminta mengulas rungutan Mohd. Nashar yang gagal menghubungi beliau sejak dua minggu lalu.

Sharlinie, 5, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya, Sharliena, 8, dari padang permainan kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan pada pagi 9 Januari lalu.

Difahamkan, pada pertemuan itu seorang lelaki dari Sarawak telah bersetuju untuk dikhayalkan (hipnosis) bagi mendapatkan maklumat yang dapat membantu mengesan lokasi Sharlinie disembunyikan.

Sazali berkata, orang ramai perlu faham bagi menjayakan kaedah hipnosis beliau memerlukan lokasi yang sunyi dan tenang serta tidak ada gangguan daripada pihak-pihak lain.

''Saya berharap keluarga Sharlinie faham dengan penjelasan ini walaupun saya sebenarnya memang mahu menolong mereka,'' ujarnya.

Polis tidak halang guna hipnosis

KUALA LUMPUR 2 Mac - Polis tidak menghalang hasrat Mohd. Nashar Mat Hussain yang mahu menggunakan kaedah forensik hipnosis untuk mengesan anaknya, Sharlinie.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, walaupun kaedah itu berbeza dengan cara polis tetapi ia dibenarkan selagi tidak mengganggu siasatan kes tersebut.

Malah jelasnya, usaha itu merupakan inisiatif keluarga mangsa untuk sama-sama membantu polis bagi mengesan kanak-kanak itu yang sudah hilang sejak 54 hari lalu.

"Selagi kaedah yang digunakan tidak mengganggu siasatan polis, kami tidak menghalang," jelasnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Arjunaidi menyatakan demikian ketika diminta mengulas hasrat Mohd. Nashar untuk menggunakan kaedah tersebut yang disiarkan di Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Malangnya, pakar forensik Dr. Sazali Ahmad gagal memberi maklum balas walaupun telah cuba menghubunginya sejak dua minggu lalu.

Sharlinie dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya, Sharliena, 8, dari padang permainan kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari lalu.

Arjunaidi berkata, polis juga tidak boleh mengambil mudah usaha keluarga mangsa jika ia ternyata dapat membantu polis mengesan penculik anak mereka.

''Usaha seperti inilah perlu diteruskan tetapi biarlah dalam keadaan terkawal kerana semua pihak memiliki matlamat yang sama supaya Sharlinie segera ditemui,'' tambahnya.

Sementara itu, Mohd. Nashar ketika dihubungi memberitahu, masih belum mendapat maklum balas dari Sazali bagi menggunakan khidmatnya untuk menggunakan kaedah tersebut.

Namun katanya, beliau dan ahli keluarga yang lain tetap meneruskan usaha mencari Sharlinie dengan membuat rondaan di sekitar kawasan Petaling Jaya.

Katanya, beliau sedia untuk melakukan rondaan di kawasan lebih jauh jika mendapat bukti kukuh bahawa anaknya berada di kawasan tersebut.

Polis yakin Sharlinie masih hidup

KUALA LUMPUR 2 Mac. - Polis menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Sharlinie Mohd. Nashar yang hilang sejak 54 hari lalu tidak dapat dikesan kerana kemungkinan kanak-kanak malang itu telah meninggal dunia.

Sebaliknya, menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, polis percaya Sharlinie masih hidup memandangkan tiada petanda yang menunjukkan kanak-kanak itu telah tiada.

''Kita yakin Sharlinie masih hidup. Setakat ini, walaupun maklumat yang diterima agak terhad, tetapi ia tidak bermaksud polis percaya kanak-kanak itu telah tiada dan seterusnya menghentikan operasi mencari,'' katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Sempena Pembinaan Balai Polis Baru Bandar Utama dekat sini hari ini.

Tambahnya, misi mencari Sharlinie, 5, masih diteruskan walaupun berdepan dengan kesibukan Pilihan Raya Umum ke-12.

''Kita masih terus mencari Sharlinie berpandukan maklumat yang ada tetapi menggunakan pendekatan berbeza,'' jelasnya.

Sharlinie, 5, hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya dari padang permainan di Taman Medan, Petaling Jaya kira-kira pukul 11.30 pagi 9 Januari lalu.

Pada majlis yang sama, Arjunaidi memberitahu, pembinaan balai polis baru berkonsepkan futuristik tersebut adalah bagi menggantikan pondok polis lama yang beroperasi dalam sebuah kontena sejak empat tahun lalu.

''Balai polis baru ini bakal dilengkapi bilik siasatan, bilik tahanan sementara, bilik senjata api, bilik taklimat dan juga dua unit kuarters apabila siap sepenuhnya pada April 2009.

''Selain itu, kemudahan logistik seperti kenderaan meronda, alatan komunikasi dan senjata juga turut diambil kira sejajar mewujudkan suasana bandar yang selamat seterusnya dapat memberi keyakinan kepada penduduk dan masyarakat di sini,'' katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Datin Paduka Yong Dai Ying, calon Ahli Parlimen Subang, S. Murugesan dan Pengarah Pembangunan Bandar Utama Sdn. Bhd., Datuk Teo Chiang Kok.

Guna kaedah hipnosis cari Sharlinie

KUALA LUMPUR 1 Mac - Mohd. Nashar Mat Hussain berhasrat menggunakan kaedah forensik hipnosis bagi mengesan anaknya, Sharlinie yang sudah hilang hampir dua bulan.

Bagaimanapun katanya, usaha itu agak terbantut kerana pakar forensik hipnosis Dr. Sazali Ahmad yang dihubungi dua minggu lalu tidak memberi sebarang maklum balas sehingga sekarang.

''Saya sedang menunggu panggilan beliau untuk mengetahui sama ada bersetuju atau tidak menggunakan khidmatnya bagi mencari anak saya,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sharlinie, 5, hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya dari padang permainan di Taman Medan, Petaling Jaya kira-kira pukul 11.30 pagi 9 Januari lalu.

Mohd. Nashar tertarik untuk menggunakan kaedah forensik hipnosis kerana sebelum ini kaedah itu berjaya memberi petunjuk lokasi Muhammad Nazrin, 6, atau Yin yang hilang selama 15 hari pada Mac lalu.

Keluarga kepada Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang ditemui mati selepas 28 hari kehilangannya pada 20 Ogos 2007 juga pernah menggunakan kaedah tersebut.

Menerusi hipnosis, pakar akan berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang yang dicari menggunakan kepakaran psikologi.

Mohd. Nashar berkata, beliau dan ahli keluarganya akan menggunakan apa juga cara dan kaedah yang difikirkan boleh membantu untuk menemukan semula Sharlinie.

"Saya dapat merasakan Sharlinie masih selamat dan saya harap penggunaan pakar hipnosis ini dapat memberi petunjuk baru dalam misi mencari anak saya," katanya.

Berdasarkan keyakinan itu jugalah beliau tidak pernah putus asa mencari anaknya selain usaha polis yang menggunakan cara siasatan dan risikan.

Bapa Sharlinie tidak putus asa, kecewa

KUALA LUMPUR 29 Feb. - Walaupun sudah 52 hari Sharlinie Mohd. Nashar, 5, hilang namun bagi bapanya, Mohd. Nashar Mat Hussain, tiada istilah putus asa atau kecewa dalam meneruskan usaha mencari anak kesayangannya itu.

Sebaliknya, dia dan keluarga sangat yakin anaknya itu masih hidup serta selamat.

Mohd. Nashar, bagaimanapun menerima hakikat bahawa Sharlinie masih gagal ditemui walaupun kehilangannya mendapat liputan meluas media dan kerjasama pelbagai pihak untuk mencarinya.

"Walaupun Sharlinie masih tidak dapat dikesan, tetapi firasat saya mengatakan anak saya itu akan ditemui dalam masa yang terdekat ini.

"Saya reda jika anak saya ditemui dalam apa jua keadaan tetapi naluri saya sebagai bapa dapat merasakan dia masih selamat dan sihat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata Mohd. Nashar, bukan setakat dia seorang saja yang masih berharap begitu tetapi isteri dan adik-beradik Sharlinie juga menaruh harapan anaknya itu ditemui dalam keadaan selamat dan sihat secepat mungkin.

Kanak-kanak malang itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya, Sharliena, 8, dari padang permainan di Taman Medan, kira-kira pukul 11.30 pagi 9 Januari lalu.

Kehilangan anak bongsu daripada tiga beradik itu membimbangkan ibu bapanya, lebih-lebih lagi dia perlu memakan ubat kerana menghidap penyakit asma.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi berkata, pada setiap hari pihaknya menjalankan gerakan di beberapa lokasi terpilih di sekitar Petaling Jaya, dekat sini berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang ramai.

"Bagaimanapun semuanya belum membuahkan sebarang hasil," jelasnya sambil menambah, polis juga tidak akan berputus asa dalam misi mencari kanak-kanak itu.